At-Tarmizi
meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Mahukah
kuberitahu kepada kalian siapa sebaik-baik pemimpin dan siapa seburuk-buruk
pemimpin?. Sebaik-baik pemimpin adalah yang kamu cintai dan mencintai kamu, dan
yang kamu doakan dan mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin adalah yang kamu
benci dan membenci kamu, dan yang kamu kutuk dan mengutuk kamu”.
Ketua atau
pemimpin adalah nikmat Allah yang sangat besar
kepada sesuatu kumpulan. Allah menjadikan seseorang pemimpin adalah
bertujuan sebagai pemandu (muwajjih) terhadap
orang dibawah pimpinannya dan memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk
mengendalikannya. Malah tugas memilih pemimpin bukanlah suatu perkara yang
remeh. Hal ini disebabkan peripentingnya memilih pemimpin yang selaras dengan
ciri-ciri yang disyorkan Islam. Memilih pemimpin yang mempunyai sifat-sifat
mulia seperti yang telah ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah sangat penting bagi
menjaga kemaslahatan semua orang.
PEMIMPIN BERWIBAWA
1)
Digerakkan atas Landasan Iman
Kerja memimpin bukanlah kerja sampingan. Kerja
memimpin bukanlah mainan. Ia adalah amanah Allah kepada manusia terpilih.
Pemimpin dari sudut pandangan Islam sendiri perlulah dipilih atas beberapa
aspek. Aspek yang menjadi tunjang utama adalah seorang pemimpin perlulah Islam
dan mengamalkan cara hidup Islam. Ia sangat ditegaskan oleh Allah dan telah
disebutkan beberapa ayat berkenaan dengannya.
"Hai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi
WALI (PEMIMPIN / PELINDUNG) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah
kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu) ?"
(An-nisaa’:
44)
Apabila dikaji sejarah, kita dapat lihat betapa
agungnya cara kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para
sahabat. Tanggungjawab sebagai seorang pemimpin negara bukanlah semata-mata
dijalankan atas sebab perlantikan ataupun kemahuan diri namun ia menjadi medan
tempur untuk menegakkan Islam dan membina landasan yang mengikut syariat Allah.
Bukan mudah bagi seorang Nabi, pemimpin negara, seorang suami dan juga seorang
ayah untuk memikul tanggungjawab ini namun itulah kesan tarbiah Allah kepada
baginda. Perjuangan baginda menempa masyarakat pada waktu itu sudah cukup
menjadi tauladan kepada para pemimpin untuk terus kekal pada jalan jihad
sebagai seorang pemimpin.
Apabila turunnya pemimpin kepada masyarakat, maka
tidak akan terlihat perbezaannya dengan orang biasa. Tidak semua ahli-ahli
daripada masyarakat itu sendiri mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan
pemimpin untuk mengadu tentang sesuatu, namun dengan adanya pemimpin yang tidak
membezakan taraf ini, perlaksanaan dalam bentuk membantu masyarakat menjadi
lebih efektif.
Hal ini telah dibuktikan melalui kisah Saidina Umar
al-Khattab yang telah menyamar sebagai masyarakat awam dan bertemu dengan
seorang wanita yang disisinya beberapa orang kanak-kanak yang menangis
kelaparan. Wanita tersebut telah mengungkit-ungkit tidak puas hati kepada Umar
r.a kerana tidak membantunya. Umar memberi salam lalu menyapanya. Wanita
tersebut menerangkan bahawa dia tiada makanan untuk diberikan kepada
anak-anaknya. Hanya dengan merebus air dapat menenangkan anak-anaknya, dengan
harapan agar nanti dapat makan apa yang dimasak oleh ibunya. Sehinggalah
anak-anak itu tertidur.
Umar menangis mendengar keluhan wanita tersebut. Setelah
Umar membantu wanita tersebut, wanita tersebut mengatakan sepatutnya dialah
yang layak menjadi khalifah, sedangkan dia tidak tahu bahawa orang yang
menolongnya adalah Umar r.a., kemudian Umar r.a telah
memanggilnya mengadap keesokan hari, dan menghadiahkannya wang. Umar
merayu pada beliau agar berjanji jangan mendakwanya di hadapan Allah di akhirat
nanti.
Itulah serba sedikit bukti
kemantapan seorang pemimpin yang meneliti setiap penjuru masyarakat bagi
menjalankan amanah yang telah Allah berikan dan hanya berpaksi kepada landasan
iman.
2)
Taat Perintah Allah
“Sesungguhnya Allah menolong sesiapa
yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah lagi Maha Perkasa. Iaitu
mereka yang kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka
mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta
mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali secara urusan”
(Al-Hajj: 40-41)
Dalam ayat ini
Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah.
Mereka ialah golongan yang diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi berdasarkan
ayat ‘makkannaahum fil ardh’
dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam
al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan
daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai
‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini
dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.
Pemimpin yang
bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredhai Allah?. Secara dasarnya,
Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan
kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan
sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah
perbuatan yang mungkar”. Istilah
yang lebih tepat lagi adalah seorang pemimpin itu mestilah menjalankan peranannya
sebagai seorang muslim. Mentaati segala suruhan Allah dan meninggalkan segala
larangannya.
3)
Ilmu yang Luas
Setiap ilmu mempunyai fiqh(kefahaman) yang membawa
para pendukung dan pelajarnya ke arah mengetahui apa yang wajib diketahui
daripada ilmu tersebut. Samalah seperti seorang pemimpin, sewajarnya mempunyai
ilmu dan persediaan untuk memimpin. Kefahaman yang kuat terhadap agama atau
lebih tepat lagi ialah menguasai ilmu, dapat menuntun seseorang kearah melahirkan
para pendukung masa depan yang dapat meneruskan perjuangan Rasulullah. Walaupun
Allah tidak mengkhususkan kepada para pemimpin, namun terdapat banyak manfaat
bagi para penuntut ilmu sepeti yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah
s.a.w.
Daripada Abu Darda’ r.a, beliau berkata,
aku mendengar Rasulullah SAW bersabda. “Barangsiapa melalui satu jalan untuk
mencari ilmu nescaya Allah mempermudahkan baginya satu jalan ke syurga”
Selain itu juga, Allah mengurniakan darjat kepada orang yang menuntut
ilmu seperti mana firman Allah SWT : “Allah mengangkat orang-orang yang beriman
diantara kamu dan orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”.
(Al-Mujadalah : 11)
Para pemimpin sebenarnya melalui proses
pembelajaran dalam menggarap pemantapan diri seiringan menempa pembentukan
kredibiliti dengan mengambil acuan-acuan tertentu. Ibarat busur (sebagai acuan)
yang melepaskan anak panahnya seumpama mencari kredibiliti. Seorang pemimpin
seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu yang secukupnya tidak kiralah ilmu
agama mahupun ilmu kepimpinan. Antara ilmu kepimpinan yang perlu dilatih ialah:
a)
Daya tahan
(endurance)
b)
Keberanian (courage)
c) Komunikasi berkesan
d)
Perkongsian pendapat
e)
Keterampilan menarik
f)
Rasional
g)
Membuat keputusan dengan tepat dan cepat
(decisive)
4)
Akhlak yang Terpuji
Berakhlak mulia (behave
etichally) merupakan keharusan bagi seorang pemimpin, sebab kepemimpinan
bukan hanya berkaitan dengan kemampuan fizikal melainkan juga berkait rapat
dengan teladan. Selain itu akhlak mulia pemimpin akan menaikkan martabat,
kewibawaan dan prestasinya, tetapi juga akan ikut mewarnai cara dia bersikap
dan memperlakukan orang lain.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rosulullah s.a.w.“Saya
diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik (mulia)”.
(Hadits Riwayat Imam Ahmad)
Rasulullah s.a.w. juga menyatakan:
Daripada Aisyah r.a. berkata: Bersabda
Rosulullah s.a.w.“Sesungguhnya diantara orang-orang beriman yang paling
sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya”.
(Hadits Riwayat Tirmidzi)
KEBIJAKSANAAN MEMILIH
Pilihanraya, Muktamar,
Mesyuarat Agung Tahunan dan seumpamanya ialah merupakan sesi rasmi saat
kepimpinan dirombak, dinilai ataupun dilakukan pemilihan semula. Ia adalah
proses muhasabah, tajdid dan islah yang sentiasa menjadi daya tarikan
dan dinamika sesebuah negara apatah lagi bagi gerakan Islam yang bergerak di
atas pentas politik demokrasi untuk memperjuangkan Islam.
Maka, persoalan "memilih" dalam hidup ini adalah
tiada pilihan. Kita mesti memilih. Jika tidak, pelbagai implikasi buruk akibat
enggan memilih. la samalah seperti kerosakannya dengan memilih perkara yang salah.
Hal ini kerana enggan memilih adalah bermaksud memilih untuk menafikan hak
kemestian memilih dalam kehidupan. Maka, selain mesti memilih, pilihan itu juga
mestilah tepat dengan berlandaskan kefahaman. Bukan hanya ikut-ikutan. Oleh
yang demikian, nilailah pemimpin yang kita akan pilih mengikut potensi sebenar
pemimpin tersebut, bukan kerana janji-janjinya yang melambung tinggi tetapi
kerana kesungguhannya menjalankan tugas yang bakal diterima.