Friday, June 22, 2012

My First Step

(ni artikel pertama kat mesir)


BELAJAR DARIPADA SEJARAH RASULULLAH

Kerjaya guru tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama. Islam sebagai satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan, memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi dan ukhrawi. Dalam hal ini, Rasulullah SAW membuktikan betapa pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam. Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda SAW sendiri mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah(Allah SWT) yang telah mengutuskan daripada kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat) , serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata.
(Surah al-Jumu’ah, ayat 2).

Selain itu, Baginda juga mengambil inisiatif contoh dengan menghantar Mus’ab ibn ‘Umair ke bumi Yathrib dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam. Secara tidak langsung, Rasulullah SAW turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud:

Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat Bukhari).

Saidina Ali r.a. pula pernah berkata: “Jadilah orang yang mencurahkan ilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang suka mendengar ilmu, atau orang yang cintakan ilmu, dan jangan kamu menjadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa.”

ANTARA ILMU, ADAB DAN GURU

Ulama’ ada menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari. Ilmu itu mampu dicari oleh sesiapapun tidak kira dengan cara yang betul atau tidak. Imam Ghazali r.h. menyebut dalam kitabnya, Ihya ‘Ulum id-Din yang bermaksud: “Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat daripada apa-apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut).


Dewasa ini, pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan. Segala nilai-nilai yang perlu ada bagi setiap yang menuntut ilmu, tidak diamalkan. Hal ini menyebabkan keberkatan daripada Allah itu tiada. Maka dengan itu, masyarakat berilmu tetap akan lahir namun daripada aspek yang bukan kita cari. Sebagai analoginya, pada masa sekarang, sangat ramai ahli profesional daripada bidang masing-masing yang tampak hebat pada mata kaca manusia. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dalam menjalankan tugas mereka. Namun, kita akan dapat melihat perbezaan antara orang yang menjaga adab dan yang sebaliknya. Seseorang akan benar-benar ikhlas dalam menjalankan tugas kesan daripada adab terhadap guru.

Oleh yang demikian, adab-adab terhadap guru dalam menuntut ilmu sangat penting. Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil A’mri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.” (An-Nisa’: 59)

KISAH IMAM SYAFIE DAN GURUNYA
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.

Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" 

Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami.” (Riwayat Ahmad).

Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Justeru, sempena Hari Guru yang disambut setiap tahun, kita perlu kembali mengenang jasa guru yang banyak membantu agama, bangsa dan negara. Hal ini bertepatan dengan seranan Baginda SAW yang mengajar umatnya agar sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada sesiapa sahaja yang berbakti kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah berterima kasih kepada Allah SWT sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi menghadap ilahi.

Guru adalah cahaya, menjadi sumber kepada cahaya-cahaya yang ada. Menerangi kegelapan dari segenap penjuru.”



No comments:

Post a Comment

CELOTEH