Wednesday, December 5, 2012

KENALI PEMIMPIN



PENDAHULUAN

At-Tarmizi meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Mahukah kuberitahu kepada kalian siapa sebaik-baik pemimpin dan siapa seburuk-buruk pemimpin?. Sebaik-baik pemimpin adalah yang kamu cintai dan mencintai kamu, dan yang kamu doakan dan mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin adalah yang kamu benci dan membenci kamu, dan yang kamu kutuk dan mengutuk kamu”.

Ketua atau pemimpin adalah nikmat Allah yang sangat besar  kepada sesuatu kumpulan. Allah menjadikan seseorang pemimpin adalah bertujuan sebagai pemandu (muwajjih) terhadap orang dibawah pimpinannya dan memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk mengendalikannya. Malah tugas memilih pemimpin bukanlah suatu perkara yang remeh. Hal ini disebabkan peripentingnya memilih pemimpin yang selaras dengan ciri-ciri yang disyorkan Islam. Memilih pemimpin yang mempunyai sifat-sifat mulia seperti yang telah ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w  dan para sahabat adalah sangat penting bagi menjaga kemaslahatan semua orang.

PEMIMPIN BERWIBAWA

1)      Digerakkan atas Landasan Iman

Kerja memimpin bukanlah kerja sampingan. Kerja memimpin bukanlah mainan. Ia adalah amanah Allah kepada manusia terpilih. Pemimpin dari sudut pandangan Islam sendiri perlulah dipilih atas beberapa aspek. Aspek yang menjadi tunjang utama adalah seorang pemimpin perlulah Islam dan mengamalkan cara hidup Islam. Ia sangat ditegaskan oleh Allah dan telah disebutkan beberapa ayat berkenaan dengannya.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi WALI (PEMIMPIN / PELINDUNG) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu) ?"
(An-nisaa’: 44)

Apabila dikaji sejarah, kita dapat lihat betapa agungnya cara kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Tanggungjawab sebagai seorang pemimpin negara bukanlah semata-mata dijalankan atas sebab perlantikan ataupun kemahuan diri namun ia menjadi medan tempur untuk menegakkan Islam dan membina landasan yang mengikut syariat Allah. Bukan mudah bagi seorang Nabi, pemimpin negara, seorang suami dan juga seorang ayah untuk memikul tanggungjawab ini namun itulah kesan tarbiah Allah kepada baginda. Perjuangan baginda menempa masyarakat pada waktu itu sudah cukup menjadi tauladan kepada para pemimpin untuk terus kekal pada jalan jihad sebagai seorang pemimpin.

Apabila turunnya pemimpin kepada masyarakat, maka tidak akan terlihat perbezaannya dengan orang biasa. Tidak semua ahli-ahli daripada masyarakat itu sendiri mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan pemimpin untuk mengadu tentang sesuatu, namun dengan adanya pemimpin yang tidak membezakan taraf ini, perlaksanaan dalam bentuk membantu masyarakat menjadi lebih efektif.

Hal ini telah dibuktikan melalui kisah Saidina Umar al-Khattab yang telah menyamar sebagai masyarakat awam dan bertemu dengan seorang wanita yang disisinya beberapa orang kanak-kanak yang menangis kelaparan. Wanita tersebut telah mengungkit-ungkit tidak puas hati kepada Umar r.a kerana tidak membantunya. Umar memberi salam lalu menyapanya. Wanita tersebut menerangkan bahawa dia tiada makanan untuk diberikan kepada anak-anaknya. Hanya dengan merebus air dapat menenangkan anak-anaknya, dengan harapan agar nanti dapat makan apa yang dimasak oleh ibunya. Sehinggalah anak-anak itu tertidur.

Umar menangis mendengar keluhan wanita tersebut. Setelah Umar membantu wanita tersebut, wanita tersebut mengatakan sepatutnya dialah yang layak menjadi khalifah, sedangkan dia tidak tahu bahawa orang yang menolongnya adalah Umar r.a., kemudian Umar r.a telah memanggilnya mengadap keesokan hari, dan menghadiahkannya wang. Umar merayu pada beliau agar berjanji jangan mendakwanya di hadapan Allah di akhirat nanti.

Itulah serba sedikit bukti kemantapan seorang pemimpin yang meneliti setiap penjuru masyarakat bagi menjalankan amanah yang telah Allah berikan dan hanya berpaksi kepada landasan iman.


2)      Taat Perintah Allah

“Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali secara urusan”
(Al-Hajj: 40-41)

Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi berdasarkan ayat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.

Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredhai Allah?. Secara dasarnya, Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.  Istilah yang lebih tepat lagi adalah seorang pemimpin itu mestilah menjalankan peranannya sebagai seorang muslim. Mentaati segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.


3)      Ilmu yang Luas

Setiap ilmu mempunyai fiqh(kefahaman) yang membawa para pendukung dan pelajarnya ke arah mengetahui apa yang wajib diketahui daripada ilmu tersebut. Samalah seperti seorang pemimpin, sewajarnya mempunyai ilmu dan persediaan untuk memimpin. Kefahaman yang kuat terhadap agama atau lebih tepat lagi ialah menguasai ilmu, dapat menuntun seseorang kearah melahirkan para pendukung masa depan yang dapat meneruskan perjuangan Rasulullah. Walaupun Allah tidak mengkhususkan kepada para pemimpin, namun terdapat banyak manfaat bagi para penuntut ilmu sepeti yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Daripada Abu Darda’ r.a, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda. “Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah mempermudahkan baginya satu jalan ke syurga”

Selain itu juga, Allah mengurniakan darjat kepada orang yang menuntut ilmu seperti mana firman Allah SWT : “Allah mengangkat orang-orang yang beriman diantara kamu dan    orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”.
(Al-Mujadalah : 11)

Para pemimpin sebenarnya melalui proses pembelajaran dalam menggarap pemantapan diri seiringan menempa pembentukan kredibiliti dengan mengambil acuan-acuan tertentu. Ibarat busur (sebagai acuan) yang melepaskan anak panahnya seumpama mencari kredibiliti. Seorang pemimpin seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu yang secukupnya tidak kiralah ilmu agama mahupun ilmu kepimpinan. Antara ilmu kepimpinan yang perlu dilatih ialah:

a)      Daya tahan  (endurance)
b)      Keberanian (courage)
c)      Komunikasi berkesan
d)      Perkongsian pendapat
e)      Keterampilan menarik
f)       Rasional
g)      Membuat keputusan dengan tepat dan cepat (decisive)


4)      Akhlak yang Terpuji

Berakhlak mulia (behave etichally) merupakan keharusan bagi seorang pemimpin, sebab kepemimpinan bukan hanya berkaitan dengan kemampuan fizikal melainkan juga berkait rapat dengan teladan. Selain itu akhlak mulia pemimpin akan menaikkan martabat, kewibawaan dan prestasinya, tetapi juga akan ikut mewarnai cara dia bersikap dan memperlakukan orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rosulullah s.a.w.“Saya diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik (mulia)”. 
(Hadits Riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah s.a.w. juga menyatakan:

Daripada Aisyah r.a. berkata: Bersabda Rosulullah s.a.w.“Sesungguhnya diantara orang-orang beriman yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya”. 
(Hadits Riwayat Tirmidzi)

KEBIJAKSANAAN MEMILIH

Pilihanraya, Muktamar, Mesyuarat Agung Tahunan dan seumpamanya ialah merupakan sesi rasmi saat kepimpinan dirombak, dinilai ataupun dilakukan pemilihan semula. Ia adalah proses muhasabah, tajdid dan islah yang sentiasa menjadi daya tarikan dan dinamika sesebuah negara apatah lagi bagi gerakan Islam yang bergerak di atas pentas politik demokrasi untuk memperjuangkan Islam.

Maka, persoalan "memilih" dalam hidup ini adalah tiada pilihan. Kita mesti memilih. Jika tidak, pelbagai implikasi buruk akibat enggan memilih. la samalah seperti kerosakannya dengan memilih perkara yang salah. Hal ini kerana enggan memilih adalah bermaksud memilih untuk menafikan hak kemestian memilih dalam kehidupan. Maka, selain mesti memilih, pilihan itu juga mestilah tepat dengan berlandaskan kefahaman. Bukan hanya ikut-ikutan. Oleh yang demikian, nilailah pemimpin yang kita akan pilih mengikut potensi sebenar pemimpin tersebut, bukan kerana janji-janjinya yang melambung tinggi tetapi kerana kesungguhannya menjalankan tugas yang bakal diterima.














No comments:

Post a Comment

CELOTEH